Sunday, July 24, 2011

PELAJAR DITANGKAP JUAL DADAH

BUKIT BESI – Tembelang seorang pelajar Tingkatan Lima yang mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti menyalahi undang-undang terbongkar apabila dia ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah berdekatan kawasan deretan kedai makan, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui kira-kira 40 butir pil kemerahan disyaki dadah jenis Methampethamine yang diletakkan bersama beg duit dalam poket seluar.

Turut ditemui pada tangkapan polis jam 11.20 malam itu ialah sejumlah tunai RM582 dipercayai hasil jualan dadah.

Nilai pasaran terhadap dadah dirampas dianggarkan berjumlah RM1,300 dan suspek dikatakan boleh meraih keuntungan kira-kira RM300 atas hasil dadah yang berjaya dipasarkan.

Siasatan awal mendapati, suspek, pelajar sebuah sekolah menengah di sini mula mengaut keuntungan hasil aktiviti mengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan sekitar sejak beberapa bulan lalu.

Remaja terbabit yang juga anak Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan anak Pengerusi Masjid kampung berdekatan sebelum ini juga dikatakan pernah ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, namun dibebaskan apabila ujian saringan air kencing pada masa itu mendapati dia bebas dadah.

Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini dikatakan melakukan perbuatan itu di luar pengetahuan bapanya yang juga seorang ahli parti politik.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan kesnya disiasat mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum menunggu kertas siasatan dilengkapkan untuk dihadapkan ke mahkamah nanti.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan ke atas remaja itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berkaitan kes terbabit. 

Petikan SinarHarian 23-Julai-2011

Related Post

widgets by blogtips