Saturday, July 16, 2011

DUNGUN CIPTA SEJARAH


TELUK LIPAT – Dungun bakal mencipta sejarah dalam lapangan sukan apabila berjaya melahirkan ramai atlet sukan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan, mahupun antarabangsa.

Pegawai Daerah, Mustofa Abdul Rahman berkata, tanpa disedari, 22 daripada atlet Sukma dan pasukan bola sepak yang mewakili Terengganu berasal dari daerah Dungun yang sebelumnya lebih terkenal sebagai daerah pelancongan.

Beliau berkata, jika ada usaha yang bersungguh-sungguh di peringkat akar umbi, tidak mustahil Dungun boleh menjadi satu daerah kecemerlangan dalam bidang sukan, terutama dalam acara lumba basikal.

Katanya, untuk menjadikan kejuaraan itu satu kenyataan, ia bukan satu perkara mudah, sebaliknya harus disertai dengan usaha bersungguh-sungguh, latihan yang cukup, komitmen berterusan serta ketahanan mental untuk menghadapi tekanan.

“Saya percaya, jika anak muda yang ada ini tidak berlatih bersungguh-sungguh, mereka tidak boleh menjuarai satu-satu acara yang dipertandingkan.

“Apa yang penting untuk kita mengekalkan kemenangan berbanding memburu kejuaraan, mereka seharusnya fokus untuk bergelar juara. Jadi, semua pihak harus memainkan peranan agar Dungun dapat melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan skuad Sukma dan pasukan bola sepak Terengganu yang berkonvoi ke Dungun untuk meraikan kemenangan sambil membawa piala FA mengelilingi beberapa lokasi utama sekitar Dungun.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada atlit sukan yang berasal dari Dungun selepas berjaya mencipta kejayaan dalam beberapa acara yang dipertandingkan.

Selain atlet terbabit, antara jaguh sukan dari Dungun yang pernah menempa nama dalam persada sukan tanah air termasuk jaguh lumba basikal negara, Azizul Hasni Awang, rakannya Ummi Hamimah serta jaguh pecut 100 meter, Nazmizan Mohamad. 

Petikan SinarHarian

Related Post

widgets by blogtips